Total Pageviews

Saturday, 22 October 2011

GEJALA SOSIAL MASA KINI



            Gejala sosial masa kini semakin berleluasa dan semakin cenderung menjadi topik utama setiap perbincangan kemasyarakatan.  Gejala bermaksud: tanda-tanda (akan terjadinya sesuatu), alamat atau petanda. Menurut contoh yang terdapat dalam kamus dan istilah yang kerap diberikan adalah gejala (petanda) yang membawa masalah. Sosial pula bermaksud kata yang merujuk kepada hal-hal yang berkaitan masyarakat dan kemasyarakatan.
            Pelbagai gejala sosial yang dikaitkan pada zaman serba moden dan maju ini dan gejala sosial ini lebih di kaitkan dengan remaja zaman sekarang. Daripada kes bohsia, hamil luar nikah yang diikuti dengan pembuangan zuriat di dalam tong sampah, penderaan, gengsterisme dan vandalisme, rogol, sumbang mahram, ketagihan dadah, hinggalah kepada mat rempit. Isu-isu yang menggerunkan ini menyerlahkan kepada kita betapa seriusnya krisis akhlak yang melanda remaja di negara kita ketika ini. Ternyata bahawa pendidikan moral kita , pendidikan sivik, pendidikan Islam, pendidikan jarak jauh dan sebagainya  masih jauh untuk dapat menangani kegawatan dan kemerosotan dalam masalah ini. Faktor-faktor tertentu seperti mencari kepuasan nafsu, ingin membebaskan diri dari kemiskinan,kongsi gelap, dadah, bertelingkah dengan ibu bapa , gagal dalam peperiksaan , bosan duduk di rumah, trauma akibat perbuatan seks dan sebagainya menjadi punca terjadinya permasalahan sosial zaman ini.
            Laman sesawang dan laman sosial dunia tanpa sepadan juga menjadi pemangkin kepada keinginan para remaja untuk mencuba sesuatu yang baru. Contohnya facebook, twitter, myspace menambahkan kenalan dunia maya ini untuk meluahkan perasaan dan berkongsi pendapat seterusnya mengeratkan lagi pergaulan sesama  mereka. Pembangunan keluarga juga mempengaruhi masalah remaja masa kini apabila ketidakseimbangan disiplin sesebuah keluarga akan
menyebabkan anak-anak tidak dapat mewujudkan pengawalan diri yang sempurna.
Ibu bapa juga tidak lagi menjadi  ‘role model’ kepada remaja .
           

Sikap masyarakat sekarang tidak lagi suka menjaga tepi kain orang lain turut
menyumbangkan kepada masalah ini. Kita hidup berkelompok tetapi saling dipisahkan oleh tembok batu dan besi. Ciri-ciri ‘ individualistic’ jelas ketara. Kita enggan menegur salah laku anak-anak jiran.  Kita jarang berkongsi nilai-nilai baik sosial seperti mana masyarakat dahulu. Budaya saling tegur sapa, bantu membantu, mesra serta prihatin terpaksa dilaungkan kerana kemerosotannya di dalam gaya hidup masyarakat kini. Peranan rakan sebaya turut menyumbang kepada berlakunya gejala sosial ini terutama kepada pelajar-pelajar yang tercicir dalam pelajaran dan yang mengalami masalah keluarga. Rakan-rakan dapat mencorak personaliti individu tertentu. Menurut teori fungsionalisme, pendidikan, laman sosial, pembangunan keluarga dan rakan sebaya saling berperanan dalam peningkatan  masalah gejala sosial remaja zaman sekarang.
Pelbagai langkah boleh diambil dan dilaksanakan, Gagasan dan tugas untuk membangun, memupuk dan meningkatkan mutu akhlak umat khasnya di kalangan remaja adalah suatu tanggungjawab besar. Ia tidak dapat dilakukan dengan jayanya kecuali oleh manusia yang berjiwa besar dan mempunyai kualiti kemanusian yang tinggi. Dengan adanya pemimpin yang soleh dan bertakwa seluruh agen sosialisasi dan jentera kerajaan akan menghala ke arah yang sama. Rakyat akan terbentuk oleh media yang beretika dan berakhlak. Pengaruh luar yang buruk akan disekat samada dalam rancangan tv, filem, internet maupun apa jua pengaruh lain yang mengancam jatidiri dan maruah umat. Dasar-dasar kementerian dan agensi pembangunan masyarakat akan selaras dengan tuntutan nilai dan akhlak.. Semoga permasalahan di atas dapat membantu mengatasi masalah keruntuhan akhlak yang semakin berleluasa, khasnya di kalangan remaja kita dewasa ini..